KUALA LUMPUR: Konfederasi Bolasepak Asia (AFC) mengesahkan pihaknya perlu menunggu laporan Persekutuan Bolasepak Asia Tenggara (AFF) berhubung insiden yang tercetus pada separuh akhir Kejuaraan Bawah 19 tahun (B-19) AFF membabitkan Malaysia dan Indonesia, malam tadi.
Justeru, Setiausaha Agung AFC, Datuk Windsor Paul John, menjelaskan sebarang tindakan yang mungkin diputuskan badan induk bola sepak Asia itu adalah berpandukan kepada laporan dan juga tindakan akan diambil AFF terlebih dahulu.
“AFF ada jawatankuasa pertandingan mereka untuk kejohanan ini, jadi kita perlu menunggu laporan dan tindakan AFF berhubung insiden ini.
“Kita juga akan menunggu dahulu apa tindakan AFF mengikut peraturan pertandingan dan selepas menerima laporan mereka, kita akan menjalankan siasatan sekiranya perlu,” katanya ketika dihubungi hari ini.
Pada 2013, Persatuan Sepakbola Seluruh Indonesia (PSSI) pernah didenda AS$15,000 (RM60,585) selepas penyokong mereka sekali lagi berkelakuan ganas ketika menyaksikan perlawanan.
Persatuan itu didenda AS$10,000 (RM40,390) selepas penyokong menyalakan mercun dan membaling botol air ketika aksi kelayakan Piala Asia bertemu Arab Saudi dengan denda tambahan AS$5,000 (RM20,195) kerana ia kesalahan berulang dilakukan dalam empat perlawanan pada 2012.
Terdahulu, skuad B-19 negara diserang penyokong Indosia selepas perlawanan terbabit lantaran rasa tidak puas hati apabila skuad Garuda Muda tewas kepada Malaysia menerusi penentuan sepakan penalti 2-3 selepas aksi sebenar terikat 1-1.
Menerusi video diterima Sukan NSTP yang dirakam sendiri jurulatih, Bojan Hodak, kelihatan pemain dan pegawai pasukan negara terpaksa berlari ke bilik persalinan untuk menyelamatkan diri daripada diserang penyokong tuan rumah yang didakwa membaling botol minuman dan batu.
Sementara itu, Setiausaha Agung AFF, Datuk Seri Azzuddin Ahmad mengesahkan jawatankuasa penganjuran tempatan (LOC) sudah memberi jaminan keselamatan kepada skuad B-19 sepanjang mereka mengharungi kejohanan itu di Indonesia.
“LOC sudah berjanji akan meningkatkan tahap keselamatan selagi pasukan Malaysia masih lagi bertanding dan juga berada di negara itu. Tanggungjawab berada di bawah mereka jadi mereka akan cuba memastikan insiden sama tidak lagi berulang.
“Apapun, sebarang keputusan atau bentuk hukuman terletak di bawah bidang kuasa AFC kerana pertandingan ini mendapat kelulusan daripada pihak terbabit,” katanya.