Ashraf Muslim berkongsi tip buat ibu bapa terutama dalam
memastikan latar belakang pengasuh anak.
KUALA LUMPUR: Tragedi menimpa bayi berusia lima bulan, Allahyarham Adam Rayqal Mohd Sufi Naeif yang ditemui mati di rumah pengasuh, mendorong bapa anak tiga, Ashraf Muslim berkongsi tip buat ibu bapa.
Memiliki seorang anak lelaki yang turut diberi nama Adam, Ashraf berharap orang ramai mengambil iktibar daripada tragedi menimpa bayi itu terutama dalam memastikan latar belakang pengasuh anak.
"Sudah semestinya saya terkesan dengan insiden yang berlaku kepada adik Adam di mana anak saya juga berkongsi nama sama.
"Kita faham tuntutan hidup sekarang di mana ibu bapa perlu bekerja menampung kos hidup bersama.
"Namun, sebelum membuat keputusan (menempatkan anak di rumah pengasuh), cuba sebaik-baiknya cari keluarga terdekat untuk membantu atau selidik latar belakang pengasuh.
"Seperkara lagi, usah terlalu mudah percaya dengan orang luar," katanya kepada BH Online.
Pada 3 Julai lalu, orang ramai gempar apabila Adam Rayqal ditemui dalam keadaan menyayat hati di di rumah pengasuhnya di Kampung Nakhoda, Batu Caves, kira-kira jam 11 malam.
Ashraf, 36, berkata, ada baiknya soal penjagaan anak difikirkan ibu bapa lebih awal.
"Ada baiknya, isu penjagaan anak atau mencari pengasuh dititikberatkan sebelum bayi lahir... Begitu juga dengan perkara lain," katanya.
Tambah Ashraf, ibu bapa yang menyerahkan anak kepada jagaan pengasuh perlu memantau layanan diberi kepada si kecil untuk tempoh beberapa bulan pertama.
Mengenai rumah tangganya, Ashraf yang memiliki dua isteri iaitu Noor Dayana Lokman dan Wan Sakinah Ahmad Saburi memberitahu, kehidupan mereka sangat bahagia.
Ashraf turut berkongsi bakal menyambut kelahiran anak keempat, September depan.
"Alhamdulillah, kehidupan semakin bahagia... Insya-Allah saya bakal dikurniakan seorang lagi cahaya mata, tidak lama lagi.
"Ketika ini, kami sedang buat persiapan menyambut kehadiran anak keempat," katanya yang memiliki tiga anak iaitu Sarah Ashraf, Anas Ashraf dan Adam Ashraf.