Pakaian Baru curi perhatian ramai
Oleh Fairul Asmaini Mohd Pilus
KUALA LUMPUR: Kehadiran Menteri Kerja Raya, Baru Bian, lengkap berbaju Melayu pada majlis Aidilfitri kementerian itu, semalam mencuri perhatian ramai tetamu majlis berkenaan.
Beliau hadir memakai baju Melayu warna biru lembut, lengkap dengan samping putih dan bersongkok, manakala isterinya, Yu Ching Sieu mengenakan baju kurung moden.
Ahli Parlimen Selangau yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Ba'Kelalan itu belum pernah memakai baju Melayu sebelum ini dan baju berkenaan ditempah khas sempena majlis itu.
"Saya belum pernah memakai baju Melayu sebelum ini. Saya selesa dan seronok menggayakannya," katanya ketika ditemui media.
Majlis itu turut dihadiri, Timbalannya, Anuar Tahir.
Baru dan isteri meluangkan masa kira-kira dua jam beramah mesra dengan kakitangan kementerian serta agensi yang hadir.
Terdahulu, pada sebelah pagi, Baru bersama Anuar turut menghadiri sesi taklimat bersama Jabatan Kerja Raya (JKR).