Siti Saleha mengaku terpaksa membatalkan niat membintangi sebuah drama
KUALA LUMPUR: Mula-mula setuju, kemudian tak jadi.
Enggan menyusahkan syarikat produksi, Siti Saleha mengaku terpaksa membatalkan niat membintangi sebuah drama biarpun pada mulanya bersetuju dengan tawaran itu.
Semuanya gara-gara jadual padat selain aktres jelita itu tidak sampai hati membiarkan syarikat produksi menunggu terlalu lama hingga dia mempunyai masa lapang.
"Bulan ini jadual saya padat... Saya perlu pergi ke beberapa destinasi. Malah, saya dan suami sudah merancang meraikan ulang tahun pertama perkahwinan di Jepun, akhir bulan ini.
"Walaupun syarikat produksi sanggup menanti, saya tak sedap hati pula. Ini kerana saya enggan menyusahkan orang termasuk syarikat produksi dan rakan artis lain yang terbabit dengan projek itu," katanya kepada BH Online.
Siti Saleha berkata, dia perlu memikirkan masa teman artis lain yang sudah bersetuju berlakon di bawah produksi terbabit.
"Banyak perkara saya pertimbangkan sebelum menolak tawaran itu. Namun, biarpun tak jadi, saya berterima kasih atas kepercayaan syarikat produksi itu," katanya.
Sementara itu, mengulas mengenai lawatan ke Wad Pediatrik, Pusat Perubatan Universiti Malaya (PPUM), Petaling Jaya, Isnin lalu, Siti Saleha berkata, kunjungan itu adalah melunaskan hajat yang tertangguh sejak awal tahun.
Bintang 7 Hari Mencintaiku itu berkata, dia terpanggil untuk mengunjungi wad itu demi memberi sokongan moral dan menceriakan kanak-kanak yang menjalani rawatan.
"Sebelum ini, saya bersama beberapa teman artis pernah membuat aktiviti bersama pesakit kanser. Inilah sumbangan yang saya mampu lakukan dan sebahagian daripada tanggungjawab sosial.
"Lebih bermakna kunjungan ini juga ditemani suami. Kami dapat laksanakan pada musim Syawal selepas memasang niat sejak awal tahun lagi," katanya.
Siti Saleha dan suami, Ahmad Lutfi Azhar bernikah pada 28 Julai tahun lalu.