SHAH ALAM: Ketua UMNO Bahagian Sungai Besar, Datuk Seri Jamal Md Yunos, mengaku bersalah di Mahkamah Majistret di sini, hari ini atas pertuduhan melakukan mudarat awam dengan memecahkan botol arak menggunakan penukul besi di hadapan pintu pagar Bangunan Setiausaha Kerajaan Negeri (SUK) di Shah Alam, Selangor tahun lalu.
Pengakuan itu dibuat selepas pertuduhan dibacakan terhadapnya di hadapan Majistret Raja Noor Adilla Raja Mahyaldin.
Bagaimanapun, prosiding mahkamah ketika ini ditangguhkan seketika bagi menunggu keputusan hukuman dijatuhkan terhadapnya.
Puluhan penyokong Jamal dilihat hadir ke mahkamah hari ini sebaik saja beliau tiba di mahkamah kira-kira jam 9 pagi tadi dari Penjara Sungai Buloh.
Seperti di beritakan sebelumnya, Mahkamah Majistret mengeluarkan waran tangkap terhadap Ketua UMNO Bahagian Sungai Besar, Datuk Seri Mohd Jamal Yunos selepas gagal hadir pada prosiding sebutan semula kes terhadapnya.
Majistret Raja Noor Adilla Raja Mahyaldin berbuat demikian selepas membenarkan permohonan Timbalan Pendakwa Raya Amira Haziqah Zulkifli dalam prosiding pagi tadi.
Beliau juga menetapkan 11 Julai ini untuk sebutan semula kes membabitkan waran tangkap yang dikeluarkan itu.
Pada 25 Mei lalu, Mohd Jamal yang ketika itu dirawat di Hospital Pakar Ampang Puteri didakwa mengikut Seksyen 290 Kanun Keseksaan, melakukan mudarat awam dengan memecahkan sejumlah botol arak menggunakan penukul besi sehingga mendatangkan bencana, bahaya dan kegusaran awam.
Dia dituduh melakukan kesalahan itu di hadapan pintu pagar keluar pos 1, Bangunan SUK Shah Alam, jam 10.15 pagi, 5 Oktober 2017.
Sabit kesalahan, Mohd Jamal boleh boleh dihukum denda maksimum RM400.
Kehilangan Mohd Jamal hanya disedari apabila Penolong Pendaftar Mahkamah Shah Alam datang semula ke hospital itu pada jam 5.30 petang hari sama untuk menyempurnakan urusan jaminan.
Terdahulu, Peguam Datuk Imran Tamrin yang mewakili Mohd Jamal memaklumkan kepada mahkamah pihaknya sudah cuba mencari anak guamnya itu namun masih gagal dihubungi.
Katanya, Mohd Jamal mengetahui hari ini adalah tarikh sebutan semua kes terhadapnya.
"Tertuduh sedia maklum hari ini untuk sebutan kes namun kami tidak mendapat apa-apa arahan daripadanya.
"Kami memohon untuk mahkamah menetapkan satu lagi tarikh sebutan sebelum mahkamah memutuskan untuk keluarkan waran tangkap," katanya.
Sementara itu, ketika ditemui di luar mahkamah, Imran berkata, sebutan hari ini sepatutnya untuk dokumen membabitkan kes berkenaan diserahkan pihak pendakwaan.
Katanya, pihaknya juga memohon supaya perintah jaminan diteruskan namun ia perlu disempurnakan segera iaitu sebelum tarikh 11 Julai ini atau waran tangkap dikeluarkan.
"Ketika ini, saya dimaklumkan polis ada waran tangkap lain. Yang pertama membabitkan urusan ikat jamin yang belum disempurnakan di Mahkamah Ampang Jaya.
"Seterusnya waran tangkap baharu seperti diumumkan Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Selangor, Senior Asisten Komisioner Fadzil Ahmat Jumaat lalu kerana melarikan diri dari tahanan," katanya.