Sangat pelik seorang warga emas hari ini mempersoal keputusan Jabatan Pendaftaran Negara (JPN) memberikan kad pengenalan merah (status pemastautin tetap) baru kepadanya sedangkan dia membuat permohonan untuk Mykad (status warganegara).
Letchumie Sinnan, 74, yang menyatakan perasaan kecewa dengan tindakan JPN itu menjelaskan proses permohonannya itu memakan masa hampir empat tahun.
"Saya membuat permohonan untuk kad pengenalan biru (status
warganegara) pada tahun 2014. (Sebelum ini) saya sering ke MIC untuk mendapatkan bantuan bagi melancarkan proses permohonan saya.
"Namun, permohonan saya sering dikatakan dalam proses sejak empat tahun lalu. Akhirnya, saya dapat kad pengenalan merah yang baharu.
"Bagaimana ini boleh berlaku? Permohonan saya adalah untuk MyKad. Saya telah pun menghantar segala dokumen yang diperlukan bagi mendapat MyKad," katanya kepada Malaysiakini.
Lebih pelik, kata Letchumie yang berasal dari Jalan Ipoh, Kuala Lumpur, permohonannya untuk mendapatkan Mykad ditukar kepada permohonan kehilangan kad.
"Ini sangat pelik. Saya mohon MyKad. Tetapi, JPN beri kad pengenalan merah menggantikan yang lama, di bawah kategori kehilangan kad.
"Apakah JPN menukar permohonan saya tanpa pengetahuan saya? Dan takkan mereka nak ambil empat tahun untuk gantikan kad pengenalan yang hilang?" katanya.
Letchumie menceritakan bahawa dia dilahirkan di Kuala Selangor pada tahun 1944 sebelum berpindah ke Kuala Lumpur mengikut suaminya.
Sukar dapat bantuan
Tambah Letchumie, suaminya meninggal dunia tujuh tahun lepas dan dia yang tidak mempunyai anak kini menyewa disebuah rumah di Batu 4, Jalan Ipoh dengan sewa bulanan RM400.
Kerana statusnya sebagai pemastautin tetap, Letchumie mendakwa dia sukar mendapatkan bantuan kebajikan atau pekerjaan tetap.
"Bantuan kebajikan dihentikan sejak 2012 selepas kerajaan
memperkenalkan syarat baru iaitu hanya pemegang MyKad layak mendapat bantuan. MIC pula tidak mampu lagi bantu saya kerana mereka sudah kalah (dalam PRU).
"Saya pernah pergi ke pejabat anggota perlimen Batu (P Prabakaran) sebanyak dua kali. Namun, tidak mendapat bantuan sewajarnya. Mereka sekadar menambil aduan saya dalam bentuk tulisan.
"Saya harap menteri-menterinya dapat tolong saya selesaikan masalah saya," kata Letchumie lagi.
Menceritakan lanjut, Letchumie berkata dia sudah melawat JPN lebih 30 kali dan permohonan Mykadnya empat tahun lalu merupakan kali kelima.
“Saya membuat permohonan di JPN lebih 20 tahun yang lalu. Mungkin lebih lama daripada itu. Saya tak berapa ingat. Memang sudah lama," tambahnya lagi.