Adam Rayqal Mohd Sufi Bayi Mati di Bahagian Sejuk Beku Peti Ais
Benar-benar tragis dengan apa yang dialami Adam Rayqal Mohd Sufi. Kejadian ini benar-benar berlaku apabila seorang bayi berusia 5 bulan didakwa hilang petang semalam dari rumah pengasuh dan sejak berita itu diketahui, seluruh rakyat Malaysia membantu dengan berkongsi melalui laman media sosial bagi menjejak kehilangan bayi tersebut, Adam.
Tapi, sudah terlambat apabila pada 11 malam tadi Adam Rayqal Mohd Sufi ditemui mati di dalam rumah pengasuhnya di Taman Nakhoda, Batu Caves dengan tubuh anak kecil itu ‘disumbat’ kedalam sebuah beg berwarna hijau di bahagian sejuk beku peti ais.
Kehilangan Adam disedari apabila ibunya, Farah Madiha ingin menjemputnya pulang seperti hari-hari biasanya. Namun, semalam tidak seperti hari-hari yang lainnya kerana kali ini, ibunya pulang ke rumah tanpa Adam.
Sebak memikirkan kejadian yang menimpa keluarga mangsa terutama kedua ibu bapanya. Hati diruntun hiba apabila melihat status yang dikongsi ibu Adam melalui laman Facebook miliknya terhadap apa yang terjadi.
Bukan mudah untuk merelakan apa yang terjadi, namun sabar dengan ketentuan Allah adalah kunci segala-galanya.
Semoga Allah kuatkan hati ibu bapa ini roh adik Adam dicucuri rahmat.