Ako hilang 20 kilogram kerana isteri
Oleh Feride Hikmet Atak
KUALA LUMPUR: Pelakon, Ako Mustapha mengambil masa dua tahun untuk menurunkan berat badannya yang naik mendadak hingga mencecah 90 kilogram gara-gara tidak mengawal pemakanan.
Ako atau nama penuhnya Muhaizad Ahmad Mustapha, 46, yang kini susut 20 kilogram berkata, perubahan itu dilakukan hasil ketegasan isterinya, Kartina Abdullah yang mahukan dia mengamal gaya hidup dan pemakanan sihat.
"Isteri bimbang apabila badan saya semakin berisi dan meminta saya turunkan atas faktor kesihatan. Lagipun, usia juga semakin lanjut, isteri mahu saya lebih menitikberatkan penjagaan kesihatan.
"Dia yang menjaga, malah turut memasak makanan khas untuk dihidangkan. Dia mahu penampilan saya di kaca televisyen lebih menarik jika ditawarkan semula peluang berlakon," katanya.
Penampilan terbaru Ako yang ditemui pada sidang media program, Super Spontan Xtravaganza, baru-baru ini membuatkan ramai terkejut melihat perubahan susuk tubuhnya yang ketara.
Tambah Ako, bukan mudah untuk dia melalui proses itu, terutama apabila terpaksa melupakan minuman kegemarannya, teh tarik yang akan dinikmati setiap kali ke restoran mamak.
Mengulas mengenai kerjaya seninya, Ako mengakui, dia sudah jarang berlakon, sebaliknya lebih memberi fokus kepada kerja di belakang tabir.
Ako berkata, dia kini meneroka cabang baharu sebagai produser dengan menerbitkan program televisyen yang disifatkannya, memberi kepuasan tersendiri.
"Buat masa ini, saya banyak terbabit dengan kerja penerbitan. Seronok mencuba cabang baharu kerana banyak perkara berbeza yang saya belajar.
"Mengenai tawaran berlakon, saya hanya akan terima jika menemui skrip yang sesuai. Bukan sombong, sebaliknya saya mahu mencari kelainan supaya penonton tidak bosan," katanya.