PERSATUAN Perlindungan dan Pembangunan Pertanian Malaysia (APDAM), hari ini, memohon maaf secara terbuka kepada pengamal media beragama Islam dan Hindu di Melaka susulan isu menghidangkan menu daging babi di meja media, malam kelmarin.
Presiden APDAM, Datuk Dr Clinton Chai berkata, beliau yang mewakili persatuan itu melahirkan rasa kesal dengan isu yang berlaku pada majlis Anugerah Pencapaian Kecemerlangan Agro Malaysia di Sekolah Pay Fong, Melaka, yang disifatkannya tidak sepatutnya berlaku.
“Saya ingin mohon maaf kepada wartawan muslim yang terbabit...perkara ini suatu kecuaian daripada pihak kami," katanya pada sidang media di Restoran Subaidah, Pusat Dagangan Antarabangsa Melaka (MITC), Ayer Keroh, hari ini.
Hadir, sama, Setiausaha APDAM, Chai Siong Siew; Yang Dipertua Kelab Mediamassa Melaka (KEMM), Samat Majid dan Presiden Persatuan Wartawan Melaka (MJA), Chong Kion Sin.
Pada majlis makan malam penganugerahan ‘Berkhidmat Bersama Bina Era Baru Malaysia & The 4th Malaysia Agro Excellence Award 2018’ itu, sekumpulan wartawan beragama Islam dan Hindu mendakwa kesal dengan tindakan penganjur yang tidak menyediakan meja khas untuk makanan halal kepada mereka.
Majlis itu turut dihadiri Timbalan Menteri Pertanian dan Industri Asas Tani, Sim Tze Tzin; EXCO kerajaan negeri serta tetamu kerhormat lain.
Sementara itu, Chai mendakwa hal itu berlaku berikutan kekeliruan timbul selepas jemputan media diberikan lebih awal tidak berbalas.
“Kami akui kesalahan pihak kami. Kami hanya menerima jawapan daripada tiga agensi iaitu Sin Chew Daily, Nanyang Siang Pau dan China Press. Jadi kami menyangka wakil media lain tidak hadir.
“Apapun kami akui perlu lebih prihatin selepas ini terutama majlis membabitkan anggota menteri,” katanya.
Dalam pada itu, Samat berkata, KEMM menghargai kesediaan penganjur majlis jamuan makan malam itu memohon maaf secara terbuka.
“Kami harap mana-mana penganjur program sebegini lebih sensitif terutama program rasmi membabitkan kerajaan negeri mahupun pusat,” katanya.